Kata Hikmah Bahasa Arab

Comment
X
Share

KATA HIKMAH BAHASA ARAB TENTANG USAHA, KESABARAN DAN KEJAYAAN DALAM BELAJAR 

 

تَرْجُو النَّجَاةَ وَلَمْ تَسْلُكْ مَسَالِكَهَا

إِنَّ السَّفِينَةَ لَا تَجْرِي عَلَى الْيَبَسِ

 

Kata hikmah ini sangat mendalam maksudnya. Ia mengingatkan kita bahawa seseorang tidak akan mencapai kejayaan jika hanya berharap tanpa menempuh jalan yang betul untuk sampai ke arah kejayaan itu. Bayangkan sebuah kapal yang ingin berlayar, ia tidak akan bergerak jika berada di atas daratan, ia perlukan air dan arahan untuk bergerak ke hadapan. Begitu juga dengan pelajar. Harapan untuk berjaya tidak akan tercapai tanpa usaha, kesungguhan dan kesabaran. Kata hikmah ini juga mengingatkan bahawa kejayaan bukan datang secara tiba-tiba, tetapi melalui proses dan langkah yang konsisten.

 

Sebagai seorang pelajar, saya sendiri pernah merasai maksud kata hikmah ini, terutamanya dalam pembelajaran Bahasa Arab. Sewaktu berada di tingkatan dua, saya masih belum menghafal fi‘il dan mufradat yang sepatutnya, manakala rakan-rakan lain sudah jauh ke hadapan. Keadaan ini membuatkan saya berasa kecewa kerana ketinggalan.

 

Namun, saya mula sedar bahawa jika hanya berharap tanpa bertindak, saya tidak akan kemana-mana. Dari situlah saya menanam tekad untuk berusaha lebih gigih, menghafal sedikit demi sedikit dan mengikuti langkah rakan-rakan walaupun pada awalnya terasa lambat dan sukar. Saya belajar bahawa setiap usaha, walaupun kecil, tetap membawa kepada perubahan.

 

Selain itu, sewaktu tingkatan dua, saya berpeluang menyertai Mukhayyam Arabiy selama 2 minggu. Program ini memberi saya peluang untuk menghafal asma dan af‘al, serta latihan bertutur dalam bahasa Arab. Pengalaman itu membantu saya lebih yakin menggunakan bahasa Arab dan mempercepatkan hafalan saya. Apabila memasuki tingkatan tiga, saya turut menyertai Mukhayyam yang memberi ruang untuk mempraktikkan apa yang telah dipelajari, seperti bercakap dalam bahasa Arab dan memahami tatabahasa dengan lebih mendalam.

 

Pelajaran yang dahulu sukar mula terasa lebih mudah difahami kerana saya berusaha bersungguh-sungguh dan tidak mudah putus asa. Alhamdulillah, hasil daripada usaha dan kesabaran serta bimbingan daripada para asatizah, saya berjaya memperoleh keputusan yang baik dalam peperiksaan. Kadangkala, saya juga menjadi rujukan rakan-rakan dalam pelajaran nahu dan sorof.

 

Kata hikmah ini mengajar kita bahawa ketinggalan pada awal pembelajaran tidak bermakna kita tidak boleh berjaya. Setiap orang mempunyai perjalanan sendiri dalam menuntut ilmu. Program seperti mukhayyam memberi peluang kepada para pelajar untuk belajar dengan lebih menyeronokkan dan membina asas bahasa arab yang kukuh. Yang penting ialah terus berusaha, sabar menempuh jalan pembelajaran, dan tidak mudah berputus asa. Bahasa Arab mungkin kelihatan sukar pada awalnya, tetapi dengan kesungguhan, latihan berterusan dan minat yang mendalam, segala cabaran boleh diatasi, Insyaallah.

 

Kesimpulannya, kata hikmah bahasa Arab ini memberikan pengajaran yang sangat berharga. Ia menegaskan bahawa kejayaan hanya dicapai oleh mereka yang sanggup berusaha, bersabar dan tidak mudah berputus asa. Dalam pembelajaran bahasa Arab khususnya, setiap pelajar perlu terus istiqamah, memanfaatkan peluang dan masa yang ada dan tidak berputus asa. Ingatlah, kapal tidak akan berlayar jika tidak berada di air, begitu juga pelajar tidak akan berjaya tanpa usaha yang berterusan. Kata hikmah ini mengingatkan kita bahawa angan-angan bukanlah segala-galanya. Usaha yang berterusanlah yang membawa kejayaan sebenar.

 

16 Disember 2025
Fathin Husna binti Mohd Hussain Adi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *